Tuesday, October 18, 2011

MANA MAK ..... " Before baca, sila sediakan Tisu"

Mana Mak?' 

Jam 6.30 petang
.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.


Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?


Wednesday, May 18, 2011

Peristiwa yang tragis dan paling menyanyat hati

Sesungguhnya apa yang berlaku ada pengajaran disebaliknya, dari itu kita haruslah sentiasa berhati-hati walau dimana kita berada. Kita tidak mampu melawan kehendak takdir yang menentukan segalanya.

Thursday, February 24, 2011

Maybank cawangan Bandar Seri Jempol diperlukan.

         Diharap kepada pihak Maybank dapat membuka cawangan yang baru di Bandar Seri Jempol berikutan cawangan di pekan Bahau sekarang sangat sesak dan masalah meletak kenderaan yang amat ketara ketika waktu bekerja. Dengan adanya cawangan baru di BSJ nanti, ianya akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan dan pembangunan di BSJ serta semua urusan akan berjalan dengan lancar.

Memandangkan BSJ ketika ini semakin ramai penduduk dan pertambahan pejabat-pejabat kerajaan yang baru serta perniagaan yang semakin banyak, sudah sampai masanya pihak pengurusan Maybank mewujudkan sebuah lagi cawangan baru bagi kemudahan penduduk setempat dan pengunjung yang singgah dari pantai timur ke barat semenanjung dan juga sebaliknya.
Semoga cadangan ini diterima pakai dan dipertimbangkan oleh pihak maybank.

  "Keselesaan, Cepat, dan mudah pilihan semua"


ATM Maybak Bandar Seri Jempol


bertakhta di hati (Hanya dirimu sayang...)

Maafkan aku jika aku bersalah...

        Sukar untuk aku menebarkan perasaan yang melanda dalam diriku sekarang. aku benar-benar sayangkan dia, tiada insan lain yang bertakhta dalam hatiku melainkan dia seorang. Selama aku wujud dibumi ini, inilah cinta yang aku jumpa sangat memberi sejuta kebahagian dalam hidupku. perkenalan bermula ditalian maya menemukanku kepada seorang insan yang begitu istimewa buatku. Bagiku dia sangat lengkap dan sempurna. Renungan matanya yang menggoda dan senyumannya yang bisa membuat aku tak tidur lena. Hilai tawanya yang memukau tatkala aku bersamanya menghabiskan masa apabila bertemu. Memandangkan jarak antara aku dan dia agak jauh untuk bertemu, tetapi bagiku pertemuan yang singkat amat bermakna buatku. Hilang segala rasa rindu yang menebal dalam dada apabila dia memeluk diriku dengan seribu harapan agar hubungan aku dengan dia akan berlanjutan sampai bila-bila.
Benar kata orang, dalam percintaan berbagai-bagai dugaan datang menerjah bagi menguji keutuhan cinta yang dibina. Hubungan aku dan dia juga tidak dapat lari dari masalah itu. Ada sahaja benda yang akan menjadi ketidakpuashatian wujud. Biasanya semua akan berpunca dari diriku sendiri. Mungkin aku terlalu sayangkannya hingga membuatkan aku bertalu-talu bertanyakan soalan yang bermain-main dalam fikiranku ketika dia berjauhan dariku. Bukan niatku membuat kau terluka. Aku terlalu cintakanmu sayang... Tidak terdetik pun dalam hatiku untuk membuatkan kau terguris hati. Aku tak sepatutnya bertanyakan kisah silammu itu. Aku tahu kau telah melenyapkan sejarah dunia pencarian cintamu dulu. Maafkan aku. Semuanya salahku, aku menyesali perbuatanku itu dan tidak akan mengulanginya lagi. Aku perlukanmu sayang, aku cintakanmu sayang, aku sayang kamu. Tiada insan lain selain dirimu yang bertakhta dalam hatiku ini. Kau insan terbaik pernah aku temui sebelum ini. Harapan ku setinggi langit biru agar hubungan kita akan sentiasa mekar dan saling menyayangi antara satu sama lain sampai bila-bila... Peristiwa semalam benar-benar membuatkan aku rasa bersalah dan memang aku yang bersalah membuatkan kau terluka. Maafkan aku sayang, maafkan aku sayang, maafkan aku sayang... Aku sayang dan cintakanmu sepenuh hatiku.

Thursday, February 17, 2011

Noorkumalasari Ft: Sudirman - Bimbang Terluka Lagi

Bimbang Terluka Lagi



Ku usapi rambutmu terurai
Ku terpandang mimpi yang berkecai

Ku renungi mata yang bercahaya
Ku terkenang peristiwa duka

Kita saling perlu amat memerlukan
Terutama dalam kesepian
Pengalaman lama datang menghantui
Hati bimbang kan terluka lagi

Kalau dapat ditarik semula
Detik waktu yang kini sejarah
Pasti engkau menjadi pilihan
Penuh rela tanpa keraguan

Sayang, Cinta dan kasih...

Memang indah jika kita berada dalam dunia tiga perkataan itu. Sayang, cinta dan kasih ataupun boleh diringkaskan dalam satu alam yang diberi nama "percintaan" adalah suatu ikatan tigasegi yang memperkuatkan sesuatu hubungan. Sesuatu hubungan yang dimaksudkan itu adalah berkaitan antara dua hati yang mungkin dilamun satu perasaan yang sangat-sangat luarbiasa. Bagi yang baru pertamakali merasainya inilah saat-saat yang payah untuk dibendung dan sukar untuk diterjemahkan dengan perkataan mahupun lukisan. Dengan perkataan keramat itu juga, apa sahaja sanggup dilakukan demi mencapai segala turutan dan tuntuan kemahuan antara dua hati yang dilamun alam "percintaan". Namun, disebalik keindahan alam "percintaan" itu terselit juga kepedihannya. Kepedihan???...
Ya! kepedihan... 

Dalam hidupku, tidak pernah memperolehi cinta sebenar... seringkali dikecewa dan dipermainkan perasaan. Jika ada sekalipun, ianya tidak sampai kekemuncaknya. Perit memang perit kehidupan aku untuk mencari cinta yang aku perlukan. setiapkali pertemuan cinta itu pasti berakhir dengan kekecewaan. mungkin ianya berpunca dari faktor kekurangan aku ataupun dari penampilan aku?. Mungkin juga itulah penyebabnya, memandangkan aku tidaklah sekacak dan sehensem selebriti-selebriti yang menjadi kegilaan semua yang melihat, aku diletakkan gred yang tersangatlah rendah dan terus dipandang sebelah mata.